PERMATA YANG HILANG (BAHAGIAN 1)


Setelah negara kita merdeka, kita telah mengecapi berbagai kejayaan merangkumi pelbagai bidang dan jurusan. Negara kita berada diantara negara membangun yang telah berjaya dan telah menikmati arus kemodenan dan kemakmuran.

Namun tidak dapat dinafikan kita juga turut dilanda keruntuhan akhlak dan moral dikalangan sebahagian remaja dan golongan muda-mudi. Pelbagai saranan, cadangan, gesaan dan ikhtiar telah dilakukan oleh kerajaan, NGO dan pihak swasta. Namun hasil baik yang diharapkan tidak seberapa berbanding usaha, masa dan wang ringgit yang telah dikeluarkan.

Dirasakan ada satu kekosongan dan batu asas yang p
erlu diambil kira untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Kekosongan yang perlu diisi segera itu ialah KEIMANAN KEPADA ALLAH. Keimanan itu bukanlah sesuatu yang dilafazkan dilidah atau sekadar pengakuan yang dizahirkan. Tetapi keimanan tersebut hendaklah mantap di dalam hati sehingga membuahkan amal baik serta menjelma di dalam kehidupan seharian.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;

Iman itu bukan sesuatu yang dicita-citakan atau diangan-angankan tetapi ianya ialah sesuatu yang mantap di dalam hati dan dibuahkan dengan perbuatan (yang baik).

Sekiranya iman tidak benar-benar mantap dan kukuh di hati sudah tentulah ia tidak akan menghasilkan perbuatan yang terpuji dan diredhai Allah. Malah ia akan menjadi benteng yang lemah dengan menghadapi hidup akhir zaman yang penuh mencabar. Hanya iman yang benar-benar mantap dan kukuh sahaja yang akan menghasilkan perbuatan yang terpuji dan diredhai Allah serta menjadi benteng yang kukuh bagi menghalang pelbagai godaan dan ajakan ke arah kemungkaran yang sentiasa menyerang dan menghasut kita dari pelbagai arah. Tanda keimanan yang sebenar tersebut telah dijelaskan Allahs.w.t. di dalam al Qur'an.

FirmanNya;

Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah
keimanan mereka, dan hanya kepada Allahlah mereka bertawakkal. (S. al Anfal 2)

Tanda inilah (S. Anfal ayat 2) yang membuktikan bahawa individu itu benar-benar beriman kepada Allah.

Maksud ayat tersebut ialah:

Pertama
: Apabila disebut nama Allah, hatinya menjadi gementar atau takut atau berasa tenang.


Kedua : Apabila beliau dibacakan ayat-ayat Allah (al Qur'an) atau melihat tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, keimanannya bertambah mantap dan yakin.

Ketiga
: Setelah mereka berusaha (melakukan perkara yang baik yang diredhai Allah)
mereka berserah diri kepadaNya (tawakkal).

Sekiranya tanda-tanda tersebut tidak ada, maka itu bukanlah keimanan yang sebenarnya, walaupun kita mengaku beriman kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.;

Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk', kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( s. al Hujurat 14)

Dalil ini menunjukkan kepada kita bahawa walaupun kita telah Islam tetapi belum tentu kita sudah benar-benar beriman kepada Allah.Iman yang sebenarnya perlukan bukti. Buktinya ialah kita perlu merasainya (Surah al Anfal 2).

Apabila kita beriman kepada Allah, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung, penolong dan pemelihara kita sepanjang masa; tidak kira dimana kita berada dan dalam apa saja situasi. Pertolongan, perlindungan dan pemeliharaan dari Allah adalah merupakan senjata yang paling kukuh dan mantap untuk kita menghadapi kehidupan alaf baru yang serba mencabar, menggoda dan melemahkan jiwa orang Islam kini, terutamanya golongan muda-mudi.


Firman Allah s.w.t.;

1. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.

(S. at Taubah 116)
2. Allah pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman)… (S. al Baqarah 257)

Semasa nabi Yusuf cuba digoda oleh seorang wanita bangsawan dan jelitawan bernama Siti Zulaikha, berkat keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah dia telah berjaya menghindarkan dirinya daripada fitnah tersebut. Ketika nabi Muhammad s.a.w. dipujuk dan ditawarkan dengan pelbagai kemewahan hidup supaya meninggalkan agama Islam; berkat keimanannya yang tinggi beliau telah berkata:

"Demi Allah, seandainya mereka itu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan soal itu (dakwah keimanan) , aku tidak akan berhenti sebelum Allah memenangkan agam
anya, atau aku binasa kerananya." (Riwayat Ibnu Ishaq)


Keimanan kepada Allah s.w.t. juga sangat penting ketika kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian dalam hidup. Mudah-mudahan dengan keimanan yang mantap, kita akan berjaya menghadapi semua ujian dan dugaan itu.

Firman Allah s.w.t.;

… Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.
(S. arRa'd 28)

Apabila kita menghadapi masalah atau cabaran atau dugaan hidup yang memerlukan kekuatan diri, berkat kita mengingati Allah samada dalam solat atau berzikir atau menghayati al Qur'an, diri kita akan menjadi tenang, tabah dan sabar. Kita tidak akan cepat melatah atau putus asa ataupun kecewa. Kita akan redha dengan ketentuan Allah yang maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya yang beriman.

Thursday, June 18, 2009

RAHSIA MENDIDIK ANAK UNTUK BERJAYA DUNIA AKHIRAT


Ditujukan kepada generasi muda dalam melahirkan anak saleh dan salehah. Anak-anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada ibubapa. Ibubapa akan mengorbankan semua yang termampu olehnya demi melihat anaknya berjaya. Anak-anak yang berbudi pekerti mulia dan beramal saleh menjadi penyejuk mata dan melahirkan perasaan bahagia dikalangan ibu bapa; sehingga Allah mengajarkan doa yang terkenal di dalam al Qur'an;

Firman Allah s.w.t.;

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan (anak cucu) kami sebagai penyayang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa. (s. al Furqan 74)

Sayugia dimaklumi bahawa mendidik anak kepada satu cara hidup yang diredhai Allah (Islam) adalah merupakan tanggung-jawab ibu-bapa sejak anak itu dilahirkan sehinggalah dia dewasa.

Firman Allah s.w.t.;

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu… ( s. at Tahrim 6)

Sabda nabi s.a.w.;

Bahawasanya Allah Taala akan bertanya ia tipa-tiap pemelihara daripada pemeliharaannya, adakah ianya pelihara betul ataupun disia-siakannya hatta ditanya akan lelaki daripada ahli rumahnya. (Riwayat Ibnu Hibban, daripada Anas)

Begitu mulia tugas mendidik anak sehingga Allah memberi sebaik-baik ganjaran di atas usahanya itu.


Sabda Nabi s.a.w.;

a. Mendidik anak lebih baik bagi seseorang itu dari bersedekah secupak. (Riwayat at Tirmizi)

b. Tidak ada pemberian seorang bapa terhadap anaknya yang lebih baik dari adab yang mulia. ( Riwayat at Tirmizi)


Mengabaikan pendidikan anak akan mengakibatkan anak memilih jalan hidup yang salah sehingga kadang-kadang menyebabkannya terkeluar dari cara hidup Islam yang diredhai Allah.

Sabda Nabi s.a.w.;

Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Namun demikian, seringkali kita mendengar dan melihat keluh resah, kekecewaan ibu bapa terhadap sikap anak-anak yang menentang usaha baik ibubapa atau anak-anaknya memilih cara hidup yang asing daripada cara hidup Islam walaupun telah diberi sebaik-baik didikan oleh ibubapanya. Berbagai-berbagai laporan disiarkan di dada akhbar atau media massa yang lain tentang keruntuhan moral anak-anak muda Islam masa kini. Kadang-kadang ibubapa dilabelkan sebagai penjaga yang gagal atau telah tidak mendidikanak dengan sebaik mungkin. Apakah punca kegagalan tersebut juga dihubungkaitkan dengan sistem pendidikan masakini yang tidak releven atau ibubapa tidak pandai mendidik anak atau sebab-sebab lain?

1. Mengambil Panduan Tentang Pendidikan Anak-Anak dari Sumber yang Mulia iaitu Al Qur'an dan As Sunnah.

Firman Allah s.w.t.;

Dan sesungguhnya al Qur'an itu dalam induk al Kitab (Luh Mahfuzh) di sisi kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandungi hikmah. ( s. azZukhruf 4)

Hikmah (kebijaksanaan) yang kita wajib diambil dari al Quran sangat penting untuk berhadapan dengan seribu satu ragam anak-anak di zaman moden ini.

2. Hendaklah Terlebih Dahulu Beriman.

Allah menyatakan di dalam al Quran bahawa untuk melahirkan anak yang Berjaya di dunia dan akhirat kita hendaklah terlebih dahulu beriman dengan sebenarnya dan kemudian membentuk peribadi muslim/muslimat yang sebenarnya.

Firman Allah s.w.t.;

Barangsiapa yang mengerjakan amal salih baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman. Maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala (ganjaran) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. ( s. an Nahl 97)

Apabila kita beriman dan kemudian beramal salih , Allah akan mengurniakan kehidupan yang baik berupa kebahagiaan rumahtangga, rezeki yang murah serta mudah mendapat apa yang kita hajati.

3. Allah Akan Memberi Keberkatan dalam Perkataan Kita.

Apabila kita telah benar-benar beriman, Allah akan memberi keberkatan dalam perkataan kita. Apa saja perkataan yang baik yang keluar dari lidah kita yang ikhlas akan member kesan yang mendalam dalam diri anak.


Firman Allah s.w.t.;

Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (S. Ibrahim 27)

Sekiranya kita tidak benar-benar beriman, walaupun kita berusaha sedaya upaya untuk menasihati, menegur, memberi tunjuk ajar dan kadang-kadang terpaksa menghukumnya namun anak kita tidak menunjukkan sikap yang baik.


4. Amal Saleh.

Setelah kita benar-benar beriman, kita isi kehidupan kita dengan amal salih (berlandaskan al Qur'an dan al Hadis); InsyaAllah, Allah akan mengurniakan kita kehidupan yang baik.


Firman Allah s.w.t.;

Barangsiapa yang mengerjakan amal salih baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman; maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan kami balasi mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (s. an Nahl 97)

Kehidupan yang baik itu bererti kehidupan yang tenang dan harmoni, rezeki yang murah, rumahtangga yang bahagia, anak-anak yang patuh kepada suruhan Allah, RasulNya dan ibubapanya serta mudah-mudahan Allah menunaikan apa yang dihajatinya.

5. Berlaku Adil dengan Anak-Anak.

Apabila kita berlaku adil, mudah-mudahan mereka akan menuruti kata ibubapa dan menyayanginya.


Sabda nabi s.a.w.;

i. Hendaklah kamu takut akan Allah dan kamu adilkan pada pemberian di antara anak-anak kamu. ( Riwayat An Nu'man)

ii. Ajarkan anak-anak kamu tiga perkara;
a. Kasih sayang akan junjungan kita Muhammad s.a.w.
b. Kasih akan kaum keluarga junjunngan.
c. Membaca al Qur'an.

Kerana orang yang membaca dan mengambil pengajaran dari al Quran di bawah naungan rahmat Allah, di hari yang tak ada naungan apa-apa melainkan naungan rahmatNya juga beserta para nabi dan rasul-rasul pilihan. (HR ad Dailami daripada Ali)

No comments:

Post a Comment