PERMATA YANG HILANG (BAHAGIAN 1)


Setelah negara kita merdeka, kita telah mengecapi berbagai kejayaan merangkumi pelbagai bidang dan jurusan. Negara kita berada diantara negara membangun yang telah berjaya dan telah menikmati arus kemodenan dan kemakmuran.

Namun tidak dapat dinafikan kita juga turut dilanda keruntuhan akhlak dan moral dikalangan sebahagian remaja dan golongan muda-mudi. Pelbagai saranan, cadangan, gesaan dan ikhtiar telah dilakukan oleh kerajaan, NGO dan pihak swasta. Namun hasil baik yang diharapkan tidak seberapa berbanding usaha, masa dan wang ringgit yang telah dikeluarkan.

Dirasakan ada satu kekosongan dan batu asas yang p
erlu diambil kira untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Kekosongan yang perlu diisi segera itu ialah KEIMANAN KEPADA ALLAH. Keimanan itu bukanlah sesuatu yang dilafazkan dilidah atau sekadar pengakuan yang dizahirkan. Tetapi keimanan tersebut hendaklah mantap di dalam hati sehingga membuahkan amal baik serta menjelma di dalam kehidupan seharian.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;

Iman itu bukan sesuatu yang dicita-citakan atau diangan-angankan tetapi ianya ialah sesuatu yang mantap di dalam hati dan dibuahkan dengan perbuatan (yang baik).

Sekiranya iman tidak benar-benar mantap dan kukuh di hati sudah tentulah ia tidak akan menghasilkan perbuatan yang terpuji dan diredhai Allah. Malah ia akan menjadi benteng yang lemah dengan menghadapi hidup akhir zaman yang penuh mencabar. Hanya iman yang benar-benar mantap dan kukuh sahaja yang akan menghasilkan perbuatan yang terpuji dan diredhai Allah serta menjadi benteng yang kukuh bagi menghalang pelbagai godaan dan ajakan ke arah kemungkaran yang sentiasa menyerang dan menghasut kita dari pelbagai arah. Tanda keimanan yang sebenar tersebut telah dijelaskan Allahs.w.t. di dalam al Qur'an.

FirmanNya;

Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah
keimanan mereka, dan hanya kepada Allahlah mereka bertawakkal. (S. al Anfal 2)

Tanda inilah (S. Anfal ayat 2) yang membuktikan bahawa individu itu benar-benar beriman kepada Allah.

Maksud ayat tersebut ialah:

Pertama
: Apabila disebut nama Allah, hatinya menjadi gementar atau takut atau berasa tenang.


Kedua : Apabila beliau dibacakan ayat-ayat Allah (al Qur'an) atau melihat tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, keimanannya bertambah mantap dan yakin.

Ketiga
: Setelah mereka berusaha (melakukan perkara yang baik yang diredhai Allah)
mereka berserah diri kepadaNya (tawakkal).

Sekiranya tanda-tanda tersebut tidak ada, maka itu bukanlah keimanan yang sebenarnya, walaupun kita mengaku beriman kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.;

Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk', kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( s. al Hujurat 14)

Dalil ini menunjukkan kepada kita bahawa walaupun kita telah Islam tetapi belum tentu kita sudah benar-benar beriman kepada Allah.Iman yang sebenarnya perlukan bukti. Buktinya ialah kita perlu merasainya (Surah al Anfal 2).

Apabila kita beriman kepada Allah, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung, penolong dan pemelihara kita sepanjang masa; tidak kira dimana kita berada dan dalam apa saja situasi. Pertolongan, perlindungan dan pemeliharaan dari Allah adalah merupakan senjata yang paling kukuh dan mantap untuk kita menghadapi kehidupan alaf baru yang serba mencabar, menggoda dan melemahkan jiwa orang Islam kini, terutamanya golongan muda-mudi.


Firman Allah s.w.t.;

1. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.

(S. at Taubah 116)
2. Allah pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman)… (S. al Baqarah 257)

Semasa nabi Yusuf cuba digoda oleh seorang wanita bangsawan dan jelitawan bernama Siti Zulaikha, berkat keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah dia telah berjaya menghindarkan dirinya daripada fitnah tersebut. Ketika nabi Muhammad s.a.w. dipujuk dan ditawarkan dengan pelbagai kemewahan hidup supaya meninggalkan agama Islam; berkat keimanannya yang tinggi beliau telah berkata:

"Demi Allah, seandainya mereka itu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan soal itu (dakwah keimanan) , aku tidak akan berhenti sebelum Allah memenangkan agam
anya, atau aku binasa kerananya." (Riwayat Ibnu Ishaq)


Keimanan kepada Allah s.w.t. juga sangat penting ketika kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian dalam hidup. Mudah-mudahan dengan keimanan yang mantap, kita akan berjaya menghadapi semua ujian dan dugaan itu.

Firman Allah s.w.t.;

… Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.
(S. arRa'd 28)

Apabila kita menghadapi masalah atau cabaran atau dugaan hidup yang memerlukan kekuatan diri, berkat kita mengingati Allah samada dalam solat atau berzikir atau menghayati al Qur'an, diri kita akan menjadi tenang, tabah dan sabar. Kita tidak akan cepat melatah atau putus asa ataupun kecewa. Kita akan redha dengan ketentuan Allah yang maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya yang beriman.

Friday, July 24, 2009

WANITA SOLEHAH

Wanita diciptakan Allah s.w.t. sebagai makhluk yang istimewa dan mulia. Kewujudan Hawa sebagai wanita pertama yang juga merupakan teman dan isteri kepada bapa manusia iaitu Nabi Adam a.s. melambangkan darjat yang tinggi yang Allah kurniakan kepada kaum wanita.
Islam telah meletakkan kaum wanita di kedudukan yang setaraf dengan kaum lelaki di banyak sudut kehidupan ini. Islam juga memelihara dan melindungi kaum wanita sejak dari dia dilahirkan sehingga ke akhir hayatnya.

Allah s.w.t. telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan dengan tujuan untuk sama-sama mengabdikan diri kepadaNya.

Firman Allah s.w.t.;

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Ku. (s. Adzariat 56)

Mengabdikan diri bererti beriman dengan sebenarnya dan mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sabda Nabi s.a.w.;

Beruntunglah bagi orang yang telah mengikhlaskan hatinya untuk iman dan dengan keimanan itu hatinya menjadi sihat, lidahnya menjadi benar, jiwanya menjadi tenang dan akhlaknya menjadi baik. (HR Ibnu Hibban)

Mengabdikan diri juga bererti menjalankan cara hidup sebagai seorang muslim dan muslimat berpandukan al Qur'an dan as Sunnah Rasulullah s.a.w..

Sabda Nabi s.a.w. lagi;

Telah aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang kepadanya, iaitu al Qur'an dan as Sunnah RasulNya.

Kaum wanita juga termasuk ke dalam golongan yang Allah berikan kebaikan-kebaikan seperti kaum lelaki dan mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah sama seperti kaum lelaki sekiranya mereka juga beriman dan beramal-saleh dengan menuruti peraturan–peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t.;

Barangsiapa mengerjakan kebaikan, baik laki-laki ataupun perempuan, sedangkan dia beriman nescaya Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan Kami balasi mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka amalkan. ( s. an Nahl 97)

Mengerjakan kebaikan itu ialah melaksanakan segala yang diperintah Allah dan RasulNya menurut ruang–lingkup yang membezakan di antara kaum lelaki dan perempuan seperti pergaulan, perhubungan, pekerjaan, sukan, tanggung-jawab suami isteri dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t. lagi;

Sesungguhnya lelaki muslim dan perempuan muslimah, lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukminah, laki-laki yang taat dan perempuan-perempuan yang taat, laki-laki yang benar dan perempuan-perempuan yang benar, laki-laki yang sabar dan perempuan-perempuan yang sabar, laki-laki yang khusyuk dan perempuan-perempuan yang khusyuk, laki-laki yang bersedekah dan perempuan-perempuan yang bersedekah, laki-laki yang berpuasa dan perempuan-perempuan yang berpuasa, laki-laki yang memelihara kehormatannya dan perempuan-perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki yang banyak ingat Allah dan perempuan-perempuan yang banyak ingat Allah maka Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar. ( s. al Ahzab 35)

Oleh yang demikian, kaum wanita juga tidak terlepas dari tanggung-jawab dan memikul
amanah seperti kaum lelaki (di sudut yang sedikit berbeza). Di antaranya ialah:


1. Berakhlak mulia dan memelihara diri.

Firman Allah s.w.t.;

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu . (s. al Hujerat 13)

Sabda Nabi s.a.w.;

a. Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi timbangan seorang mukmin pada hari Kiamat daripada akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyukai kekejian, bahawasanya orang yang berakhlak yang baik akan mencapai martabat orang berpuasa dan bersembahyang.
(HR Ahmad bin Hanbal)

b. Orang yang terbaik dikalangan kamu ialah mereka yang baik akhlaknya. (HR al Bukhari)

Menghindarkan diri dari perbuatan yang tercela seperti syirik, berdusta, khianat, sombong, dengki, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, tidak menutup aurat, berpakaian seperti lelaki, berzina, minum arak dan sebagainya.

Sabda Nabi s.a.w.;

a. …Apabila perempuan telah dewasa (telah haid, baligh), tidak boleh diperlihatkan (auratnya) kecuali ini dan ini (seraya Rasulullah memberi isyarat pada muka dan kedua telapak tangan beliau) (HR Abu Daud)

b. Dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah kulihat:
(Pertama) kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu, mereka kejam, mereka memukul orang dan (Kedua) perempuan-perempuan yang berpakaian telanjang, memancing perhatian ke arah penyelewengan, dan mereka sendiri penyeleweng, sanggulnya besar seperti unta yang mereng.
Perempuan sepeti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal wanginya itu tercium dan jarak sekian dan sekian (yakni jarak yang jauh sekali). (HR Ahmad dan Muslim)

c. Jauhi diri kamu daripada berzina, kerana pada zina itu empat perkara:
i. Menghilangkaan cahaya muka
ii. Memutuskan rezeki
iii. Memurkakan Tuhan
iv. Mewajibkan berkekalan di dalam neraka (jika diperhalalkan dia)
(riwayat at Tabrani daripada Ibnu AbbaS)

Seorang wanita yang solehah juga mempunyai perasaan malu yang tinggi sehingga beliau malu untuk mendedahkan auratnya di khalayak ramai, dan malu untuk menjadikan dirinya mudah dipermainkan atau diambil kesempatan oleh kaum yang bukan sejenisnya.

Sabda Nabi s.a.w.;

Rasa malu dan iman adalah sama, apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang lain akan hilang juga. (HR al Hakim dan at Tabrani)

Dari Ibnu Abbas r.a.;

Raulullah s.a.w. mengutuk lelaki pondan (menyerupai perempuan) dan perempuan pondan (menyerupai lelaki). (HR Bukhari)


2. Menuntut ilmu di usia remaja.

Kaum wanita juga digalakan menuntut ilmu semampu mungkin. Selain menjadikan kaum wanita yang berpendidikan tinggi dipandang mulia, beliau juga memberi sumbangan yang besar di dalam memajukan dan meninggikan taraf ekonomi keluarga, bangsa dan negaranya.

Sabda Nabi s.a.w.;

Menuntut ilmu itu wajib bagi muslim dan muslimat.


3. Menjadi isteri yang solehah.

Menjadi isteri yang solehah bererti patuh dan setia kepada suami, mampu mendidik anak menurut didikan Islam dan bersama-sama (suami) memelihara harta dan rumahtangganya.

Firman Allah s.w.t.;

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis mu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. (s ar-Ruum 21)

Sabda nabi s.a.w.;

a. Wanita yang paling baik ialah kamu berasa tenteram apabila memandangnya dan apabila kamu perintah dia patuh. Ia melindungi harta-harta kamu dan menjaga dirinya bila ketiadaanmu.

b. Sebaik-baik perempuan kamu itu perempuan yang mana terpelihara dirinya, lagi bersangatan berahi, ialah yang memelihara farajnya daripada yang bukan suaminya, yang sangat berahi kepada suaminya. (Riwayat ad Dailami daripada Anas)

c. Apabila seorang perempuan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan memelihara kemaluan (tidak berzina) dan taat setia pula dia kepada suaminya, dapatlah dia masuk syurga. (Riwayat al Bazzar, daripada Anas)

Sabda Nabi s.a.w.;

Empat perkara, barangsiapa dikurniakan dia oleh Allah Ta’ala maka dapatlah kebajikan dunia dan akhirat:
a. Lidah yang sentiasa berzikir (ingat akan Allah s.w.t.).
b. Hati yang bersyukur (berterima kasih kepada Allah s.w.t.).
c. Badan yang sabar dari segala bala'.
d. Isteri yang tiada khianat akan suaminya dan harta bendanya. (HR at Tabrani daripada Ibnu abbas).

Di dalam sejarah silam terdapat ramai kaum wanita yang telah beriman dan beramal soleh yang boleh dijadikan contoh dan tauladan. Di antara mereka ialah Siti Sarah dan Siti Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim a.s., Siti Khadijah dan Siti Aishah isteri kepada Nabi Muhammad s.a.w., dan lain-lain.
Menghayati sejarah kehidupan dan perjuangan mereka akan memberikan sebaik-baik contoh dan tauladan yang amat berguna kepada kaum wanita.

No comments:

Post a Comment