1. Mengenali Tujuan Hidup.
Allah s.w.t. tidak menjadikan semua makhlukNya di alam ini tanpa tujuan. Setiap sesuatu yang melata, yang terbang, yang berenang di air mempunyai tujuan diciptakan. Bahkan bumi, bulan, bintang dan matahari juga diciptakan oleh Allah s.w.t dengan sebab-sebab tertentu sesuai dengan sifat Allah Yang Maha Bijaksanan dan Maha Mengetahui. Maha suci Allah menciptakan sesuatu tanpa sebab atau sekadar suka-suka.
Firman Allah s.w.t;
Dan tidaklah Kami (Allah) ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main. (s. al Anbia’ 16)
Allah menjadikan jin dan manusia juga dengan tujuan tertentu.
Firman Allah s.w.t.;
Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu.
(Surah azZariat 56)
Mengabdikan diri atau menyembah Allah bererti beriman kepada Allah dan menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya berpandukan al Quran dan Sunnah RasulNya.
Firman Allah s.w.t.;
Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu Kitab (al Qur’an) dengan membawa kebenaran.
Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya. (s. azZumar 2)
2. Beriman.
Sebagai seorang pelajar yang mengabdikan diri kepada Allah hendaklah memiliki keimanan yang sebenar.
Firman Allah s.w.t.;
Maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan kepada Cahaya (al Quran) yang telah kami turunkan . Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(s. atTaghabun 8)
Keimanan tersebut hendaklah benar-benar dapat dibuktikan terutama pada diri sendiri. Tanda iman yang sebenar itu ialah seperti yang Allah kehendaki di dalam al Quran.
Firman Allah s.w.t.;
Maksudnya : Hanyasanya orang-orang yang beriman ialah mereka yang beriman kepada kepada Allah dan Rasulnya, kemudian tidak ragu-ragu(yakin) serta berjihad dengan harta dan diri mereka di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. (Surah al Hujurat 15)
Keimanan itu ialah suatu keyakinan tentang Allah yang mantap di dalam hati tanpa rasa ragu atau goyang serta terpancar dengan perbuatan yang diredhai Allah di dalam dunia ini.
Sabda Nabi s.a.w.;
Iman itu bukan dengan cita-cita dan bukan juga perhiasan, tetapi iman ialah keyakinan yang tersemat di dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan.
(Riwayat sebahgian ahli sunan)
3. Berakhlak Mulia.
Apabila iman sudah meresap di hati maka akan mudahlah melakukan akhlak terpuji yang dituntut oleh Allah melalui al Quran serta diajar oleh Rasulullah s.a.w di dalam kehidupan ini.
Firman Allah s.w.t.;
Ya, barangsiapa yang menyerahkan diri (Islam) kepada Allah sedangkan dia berbuat baik (berakhlak terpuji) maka untuknya pahala di sisi Tuhannya, dan tak ada ketakutan terhadap mereka dan tidak mereka berdukacita. (Surah al Baqarah 112)
Seorang mukmin yang berakhlak mulia akan dimuliakan, dirahmati dan diberkati kehidupannya. Rezekinya murah, bijaksana dan cerdik, sihat tubuh badan dan kuat fizikal mudah diperkenankan segala hajatnya (insyaAllah) dan banyak lagi kurnia dari Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan berakhlak mulia.
4. Berbakti kepada Ibubapa, Bangsa dan Negara.
Di dalam kehidupan seorang mukmin atau mukminah ibubapa adalah orang yang sangat dimuliakan. Mereka telah membesarkan, mendidik dan menjaga anaknya sehingga dewasa. Oleh itu menjadi tanggung-jawab yang sangat penting dan mulia bagi seorang pelajar mukmin memuliakan, berbakti, menjaga dan mendoakan kesejahteraan mereka samada semasa hidup mereka atau semasa mereka telah meninggal dunia.
Firman Allah s.w.t.;
Tuhanmu memerintahkan supaya janganlah kamu sembah kecuali Dia, dan berbuat baiklah kepada ibubapa. (Surah al isra' 230)
Sabda Nabi s.a.w.;
Barangsiapa berbuat baik kepada kedua ibubapanya, syurgalah baginya, dan dipanjangkan oleh Allah Taala akan umurnya. ( Riwayat al Bukhari)
Janganlah sekali-kali menderhakainya atau mengingkari perintahnya atau mengkhianatinya
kerana Allah sangat murka kepada orang yang berbuat demikian.
Sabda nabi s.a.w.;
a. Dua perkara yang disegerakan seksanya di dunia lagi;
i. Zalim.
ii. Derhaka kepada kedua ibubapa. (Hr at Tabrani daripada Ibnu Abi Bakrah)
b. Segala dosa ditakhirkan (dilambatkan) seksanya sehingga hari Kiamat, melainkan berderhaka kepada dua ibubapanya, maka disegerakan seksanya dari dunia lagi. ( riwayat atTabrani)
Berbakti kepada bangsa dan Negara juga adalah sifat-sifat orang yang beriman. Berbakti bererti menunaikan tanggung-jawab sebagai rakyat seperti patuh dan taat kepada peraturan negara dan menjaga keamanan negaranya. Menimbulkan kacau-bilau atau melakukan huru-hara atau sesuatu yang besifat hasutan sehingga menggugat keamanan negara bukanlah sifat orang yang beriman.
Firman Allah s.w.t;
Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu taatkan Allah dan taat akan RasulNya, begitu juga pemimpin dari kalangan kamu… (s. an Nisa 59)
Sabda Nabi s.a.w.;
Barangsiapa taat akan perintahku, maka sesungguhnya taatlah ia akan Allah. Dan barangsiapa yang derhaka akan daku, maka sesungguhnya derhaka ia akan Allah. Dan barangsiapa taat ia akan pemimpinnya, maka sesungguhnya taatlah ia akan daku. Dan barangsiapa derhaka akan pemimpinnya, maka sesungguhnya derhakalah ia akan daku.
(Riwayat Abu Hurairah )
5. Memuliakan dan Berbakti kepada Guru-Guru.
Guru-guru adalah mereka yang telah membawa pelajar-pelajar ke dunia yang sebenarnya. Mereka mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk mendidik anak bangsa tanpa mengira rupa, pangkat, keturunan atau bangsa. Allah memuliakan para pendidik dan mengurniakan mereka kebaikan-kebaikan di dunia dan di akhirat.
Sabda Nabi s.a.w.;
a.Kelebihan seorang alim ke atas seorang ahli ibadat ialah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah, Malaikat, penduduk-penduduk langit dan bumi sehingga kepada semut di dalam sarangnya dan ikan paus di dalam lautan mendoakan kebaikan kepada guru-guru yang mengajar manusia. (HR at Tarmizi)
b. Aku bertanya kepada Jibril tentng para ahli ilmu. Jibril menjawab: Mereka adalah pelita bagi umatmu di dunia dan akhirat, berbahagialah mereka yang mahu mengerti tentang mereka dan celakalah mereka yang membenci dan memurkainya. (Kawasyi)

6. Menguasai Ilmu Pengetahuan.
Tugas menuntut ilmu sehingga ke tahap yang tertinggi diumpamakan seperti pemuda–pemudi yang pergi berjihad di jalan Allah dan mencari keredhaanNya. Hanya mereka yang berilmu sahaja yang mampu membangunkan negaranya samada dibidang agama, ekonomi, pentadbiran, teknologi dan sebagainya. Mereka yang berilmulah yang akan meninggikan taraf hidup bangsanya supaya setanding dan setaraf dengan bangsa-bangsa yang lain yang telah lama membangun dan maju.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;
a. Barangsiap yang mempelajari satu bab dari ilmu untuk mengajarkan kepada orang lain, maka ia akan diberi pahala kepadanya tujuh puluh Nabi.
b. Berjalan kerana menuntut ilmu-pagi atau petang terlebih afdhal di sisi Allah Ta'ala dari berperang sabil. (Riwayat adDailami daripada Ibnu Abbas)
c. Barangsiapa berjalan atau mencari jalan byat menuntut ilmu, nescaya dimudahkan Allah taala baginya jalan ke syurga. ( Riwayat Muslim)
d.Tuntutlah kamu akan ilmu walaupun di negeri China, kerana menuntut ilmu itu fardhu di atas tiap-tiap orang islam. Bahawasanya malikat itu meletakkan sayapnya ke atas belakang penuntut ilmu kerana suka dan redha dengan tuntutannya. (Riwayat Ibnu Abdul Bir)
Walaubagaimanapun menuntut ilmu hendaklah dengan haati yang ikhlas.
Sabda Nabi s.a.w.;
Barangsiapa yang mempelajari ilmu tidak untuk memperoleh keredhaan Allah s.w.t. dan hanya untuk tujuan mendapat kepentingan dunia, pada hari kiamat dia tidak akan mencium bau syurga. (HR abu Daud)
7. Menyayangi dan Mempertahankan Islam.
Barangsiapa yang benar-benar beriman dan muslim sudah pastilah dia akan menyayangi dan bersedia disetiap ketika untuk mempertahankan Islam.
Firman Allah s.w.t.;
Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu seorang Muslim ( S. Ali Imran 102)
Sabda Nabi s.a.w.
Islam itu amat tinggi dan tidak ada lagi yang lebih tinggi darinya. (Riwayat sebahagian ahli sunan)
Orang beriman tidak akan redha atau membenarkan agamanya dihina, dicaci atau diperlekehkan. Dia akan mengambil sikap menentang atau memerangi golongan yang menghina agamanya. Cara penentangannya adalah cara yang di dalam batasan yang diizinkan oleh negaranya seperti berdakwah, menulis artikel atau memulaukan produk-produk tertentu.
8. Menjauhkan Diri dari Perkara yang Boleh Membawa Kebinasaan.
Allah menghendaki umatnya memiliki tubuh badan yang tahan lasak, sihat, fikiran yang cerdas dan bijak dan mampu melaksanakan tugas yang diserahkan kepadanya dengan pantas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.
Oleh itu Allah melarang umatnya melakukan perkara-perkara seperti menghisab dadah, berzina, minum arak, ‘merempit’ dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t.;
Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (s. al Baqarah 195)
Sabda Rasulullah s.a.w.;
Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah... (HR Muslim)
Bernas sungguh isi yang dikemukakan..
ReplyDelete