
Artikel ini ditujukan kepada pemuda-pemudi yang bertugas sebagai pendidik atau guru, juga kepada golongan remaja yang akan menjadi pendidik. Kerjaya sebagai pendidik sememangnya kerjaya yang mulia.
Dari Ali karramallahu wajhahu dari Nabi Muhammad s.a.w.;
Aku bertanya kepada Jibril tentang para ahli ilmu. Jibril menjawab:
Mereka adalah pelita bagi umatmu di dunia dan akhirat, berbahagialah mereka yang mahu mengerti tentang mereka dan celakalah mereka yang membenci dan memurkainya. (Kawasyi)
Sabda Nabi s.a.w. lagi;
i.Barangsiapa yang mempelajari satu bab dari ilmu untuk mengajarkan kepada orang lain maka akan diberi pahala kepadanya tujuh puluh Nabi.
ii. Kelebihan seorang alim ke atas seorang ahli ibadat ialah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah, MalaikatNya penduduk-penduduk langit dan bumi sehingga kepada semut di dalam sarangnya dan ikan paus di dalam lautan mendoakan kebaikan kepada guru-guru yang mengajar manusia . (HR at Tarmizi)
Mendidik anak bangsa dengan niat agar mereka menjadi manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta berjaya di dunia dan akhirat adalah merupakan impian dan matlamat setiap warga pendidik dan harapan ibubapa dan penjaga. Namun agak mudah di kata tetapi berat dan penuh dengan pancaroba yang menanti pendidik untuk merealisasikan impian tersebut. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi setiap hari oleh seorang guru terutama generasi yang tinggal di bandar atau di sekolah yang mempunyai ramai pelajar bermasalah atau persekitaran yang mencabar. Seringkali kedengaran guru mengalami tekanan perasaan kesan dari masalah-masalah yang dihadapi.
Sebenarnya Islam telah mengemukakan kaedah penyelesaian terbaik supaya pendidik dapat mendidik dalam suasana yang tenang serta mampu menghadapi seribu satu cabaran serta tabah menghadapi apa saja yang bakal dilalui.
Penyelesaian tersebut ialah:
1. Keimanan yang Sebenar.
Firman Allah s.w.t.;
Maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan kepada cahaya (al Quran) yang telah kami turunkan. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (surah at Taghabun 8)
Keimanan tersebut hendaklah benar-benar mantap di dalam diri sehingga lahir dalam kehidupan seharian.
Firman Allah s.w.t. lagi;
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (surah al-Anfal 2)
Sabda nabi s.a.w.;
Iman itu bukan sesuatu yang dicita-citakan sahaja atau diangan-angankan sahaja tetapi ianya ialah sesuatu yang mantap di dalam hati dan dibuahkan dengan perbuatan (yang baik). (riwayat sebahagian ahli sunan)
Apabila iman benar-benar meresap di dalam hati dan terpancar keseluruh anggota tubuh kita, maka jadilah kita orang yang benar-benar beriman. Orang beriman (mukmin) ini mendapat keredhaan Allah serta memiliki sifat-sifat terpuji anugerah dan kurnia dari Allah.s.w.t.
Diantara kurniaNya ialah:
a. Ucapan yang teguh dan diberkati.
Ucapan, tunjuk ajar, nasihat serta teguran dari seorang guru yang beriman akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang mendengarnya kerana percakapan orang yang beriman insyaAllah diberkati dan dirahmati Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.;
Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. ( S. Ibrahim 27)
b. Ketenangan dan ketabahan hati.
Dalam menghadapi kehidupan yang mencabar, ketenangan dan ketabahan hati adalah satu keperluan utama. Hanya dengan mengingati Allah samada dalam solat, menghayati al-Qur'an atau berzikir hati akan menjadi tenang dan tenteram.
Firman Allah s.w.t.;
…iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram. (s. arRa'd 28)
2. Kebijaksanaan.
Apabila kita beriman serta mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan laranganNya, Allah akan mengurniakan kepada kita kebijaksanaan. Menangani pelbagai masalah pelajar perlukan kepada kebijaksanaan. Mudah-mudahan pelajar tersebut akan mendapat sebaik-baik manfaat dari kebijaksanaan kita.
Firman Allah s.w.t.;
Allah menganugerahkan al hikmah (kebijaksanaan dan kefahaman) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang dianugerahkan hikmah, ia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran. (s. al Baqarah 269)
3. Ikhlas.
Ikhlas bererti setiap ibadah yang dilakukan seperti mendidik anak bangsa hanyalah kerana mencari keredhaan Allah. Kerjaya sebagai guru adalah satu ibadah yang sangat mulia. Apabila kita melakukan tugas yang diamanahkan itu dengan ikhlas mudah-mudahan masalah-masalah yang berat akan menjadi ringan dengan pertolongan Allah. Kadang-kadang masalah yang sukar diatasi akan menjadi mudah diselesaikan dengan izin Allah.
Firman Allah s.w.t.;
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agaama yang benar ( s. al Bayyinah 5)
4. Sabar.
Kesabaran dalam menghadapi karenah pelajar adalah suatu yang sukar dilakukan; tetapi dengan keimanan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada orang yang benar-benar beriman sifat sabar pasti ada dalam dirinya.
Firman Allah s.w.t.;
a. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.( s. al Baqarah 153)
b. Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang- orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik. ( s. ar Ra'd 22)
5. Bertaqwa.
Seorang pendidik atau bakal pendidik hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi perentah perentah Allah dan meninggalkan laranganNya. Seorang pendidik yang bertqwa akan sentiasa mendapat bimbingandan petunjuk dari Allah dan memiliki peribadi yang mulia .
Peribadi yang mulia (yang lahir dari seorang yang bertaqwa) akan menjadi contoh ikutan yang terbaik kepada anak-anak murid yang sentiasa memerhatikan tingkah-laku pendidik. Seorang pendidik yang beriman dan bertaqwa mempunyai 'daya penariknya tersendiri'. Gunakanlah kelebihan tersebut untuk mendidik mereka kearah manusia yang beriman dan beramal saleh.
Firman Allah s.w.t.;
Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan Kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (s. an Nahl 97)
Kehidupan yang baik itu berupa ketenangan, murah rezeki, rumah tangga yang bahagia, mudah mendapat apa yang dihajati dan diri yang mempunyai 'aura' yang mampu mempunyai daya tarikan .
No comments:
Post a Comment