PERMATA YANG HILANG (BAHAGIAN 1)


Setelah negara kita merdeka, kita telah mengecapi berbagai kejayaan merangkumi pelbagai bidang dan jurusan. Negara kita berada diantara negara membangun yang telah berjaya dan telah menikmati arus kemodenan dan kemakmuran.

Namun tidak dapat dinafikan kita juga turut dilanda keruntuhan akhlak dan moral dikalangan sebahagian remaja dan golongan muda-mudi. Pelbagai saranan, cadangan, gesaan dan ikhtiar telah dilakukan oleh kerajaan, NGO dan pihak swasta. Namun hasil baik yang diharapkan tidak seberapa berbanding usaha, masa dan wang ringgit yang telah dikeluarkan.

Dirasakan ada satu kekosongan dan batu asas yang p
erlu diambil kira untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Kekosongan yang perlu diisi segera itu ialah KEIMANAN KEPADA ALLAH. Keimanan itu bukanlah sesuatu yang dilafazkan dilidah atau sekadar pengakuan yang dizahirkan. Tetapi keimanan tersebut hendaklah mantap di dalam hati sehingga membuahkan amal baik serta menjelma di dalam kehidupan seharian.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;

Iman itu bukan sesuatu yang dicita-citakan atau diangan-angankan tetapi ianya ialah sesuatu yang mantap di dalam hati dan dibuahkan dengan perbuatan (yang baik).

Sekiranya iman tidak benar-benar mantap dan kukuh di hati sudah tentulah ia tidak akan menghasilkan perbuatan yang terpuji dan diredhai Allah. Malah ia akan menjadi benteng yang lemah dengan menghadapi hidup akhir zaman yang penuh mencabar. Hanya iman yang benar-benar mantap dan kukuh sahaja yang akan menghasilkan perbuatan yang terpuji dan diredhai Allah serta menjadi benteng yang kukuh bagi menghalang pelbagai godaan dan ajakan ke arah kemungkaran yang sentiasa menyerang dan menghasut kita dari pelbagai arah. Tanda keimanan yang sebenar tersebut telah dijelaskan Allahs.w.t. di dalam al Qur'an.

FirmanNya;

Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah
keimanan mereka, dan hanya kepada Allahlah mereka bertawakkal. (S. al Anfal 2)

Tanda inilah (S. Anfal ayat 2) yang membuktikan bahawa individu itu benar-benar beriman kepada Allah.

Maksud ayat tersebut ialah:

Pertama
: Apabila disebut nama Allah, hatinya menjadi gementar atau takut atau berasa tenang.


Kedua : Apabila beliau dibacakan ayat-ayat Allah (al Qur'an) atau melihat tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, keimanannya bertambah mantap dan yakin.

Ketiga
: Setelah mereka berusaha (melakukan perkara yang baik yang diredhai Allah)
mereka berserah diri kepadaNya (tawakkal).

Sekiranya tanda-tanda tersebut tidak ada, maka itu bukanlah keimanan yang sebenarnya, walaupun kita mengaku beriman kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.;

Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk', kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( s. al Hujurat 14)

Dalil ini menunjukkan kepada kita bahawa walaupun kita telah Islam tetapi belum tentu kita sudah benar-benar beriman kepada Allah.Iman yang sebenarnya perlukan bukti. Buktinya ialah kita perlu merasainya (Surah al Anfal 2).

Apabila kita beriman kepada Allah, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung, penolong dan pemelihara kita sepanjang masa; tidak kira dimana kita berada dan dalam apa saja situasi. Pertolongan, perlindungan dan pemeliharaan dari Allah adalah merupakan senjata yang paling kukuh dan mantap untuk kita menghadapi kehidupan alaf baru yang serba mencabar, menggoda dan melemahkan jiwa orang Islam kini, terutamanya golongan muda-mudi.


Firman Allah s.w.t.;

1. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.

(S. at Taubah 116)
2. Allah pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman)… (S. al Baqarah 257)

Semasa nabi Yusuf cuba digoda oleh seorang wanita bangsawan dan jelitawan bernama Siti Zulaikha, berkat keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah dia telah berjaya menghindarkan dirinya daripada fitnah tersebut. Ketika nabi Muhammad s.a.w. dipujuk dan ditawarkan dengan pelbagai kemewahan hidup supaya meninggalkan agama Islam; berkat keimanannya yang tinggi beliau telah berkata:

"Demi Allah, seandainya mereka itu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan soal itu (dakwah keimanan) , aku tidak akan berhenti sebelum Allah memenangkan agam
anya, atau aku binasa kerananya." (Riwayat Ibnu Ishaq)


Keimanan kepada Allah s.w.t. juga sangat penting ketika kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian dalam hidup. Mudah-mudahan dengan keimanan yang mantap, kita akan berjaya menghadapi semua ujian dan dugaan itu.

Firman Allah s.w.t.;

… Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.
(S. arRa'd 28)

Apabila kita menghadapi masalah atau cabaran atau dugaan hidup yang memerlukan kekuatan diri, berkat kita mengingati Allah samada dalam solat atau berzikir atau menghayati al Qur'an, diri kita akan menjadi tenang, tabah dan sabar. Kita tidak akan cepat melatah atau putus asa ataupun kecewa. Kita akan redha dengan ketentuan Allah yang maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya yang beriman.

Friday, July 24, 2009

WANITA SOLEHAH

Wanita diciptakan Allah s.w.t. sebagai makhluk yang istimewa dan mulia. Kewujudan Hawa sebagai wanita pertama yang juga merupakan teman dan isteri kepada bapa manusia iaitu Nabi Adam a.s. melambangkan darjat yang tinggi yang Allah kurniakan kepada kaum wanita.
Islam telah meletakkan kaum wanita di kedudukan yang setaraf dengan kaum lelaki di banyak sudut kehidupan ini. Islam juga memelihara dan melindungi kaum wanita sejak dari dia dilahirkan sehingga ke akhir hayatnya.

Allah s.w.t. telah menciptakan manusia lelaki dan perempuan dengan tujuan untuk sama-sama mengabdikan diri kepadaNya.

Firman Allah s.w.t.;

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Ku. (s. Adzariat 56)

Mengabdikan diri bererti beriman dengan sebenarnya dan mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sabda Nabi s.a.w.;

Beruntunglah bagi orang yang telah mengikhlaskan hatinya untuk iman dan dengan keimanan itu hatinya menjadi sihat, lidahnya menjadi benar, jiwanya menjadi tenang dan akhlaknya menjadi baik. (HR Ibnu Hibban)

Mengabdikan diri juga bererti menjalankan cara hidup sebagai seorang muslim dan muslimat berpandukan al Qur'an dan as Sunnah Rasulullah s.a.w..

Sabda Nabi s.a.w. lagi;

Telah aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang kepadanya, iaitu al Qur'an dan as Sunnah RasulNya.

Kaum wanita juga termasuk ke dalam golongan yang Allah berikan kebaikan-kebaikan seperti kaum lelaki dan mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah sama seperti kaum lelaki sekiranya mereka juga beriman dan beramal-saleh dengan menuruti peraturan–peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t.;

Barangsiapa mengerjakan kebaikan, baik laki-laki ataupun perempuan, sedangkan dia beriman nescaya Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan Kami balasi mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka amalkan. ( s. an Nahl 97)

Mengerjakan kebaikan itu ialah melaksanakan segala yang diperintah Allah dan RasulNya menurut ruang–lingkup yang membezakan di antara kaum lelaki dan perempuan seperti pergaulan, perhubungan, pekerjaan, sukan, tanggung-jawab suami isteri dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t. lagi;

Sesungguhnya lelaki muslim dan perempuan muslimah, lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukminah, laki-laki yang taat dan perempuan-perempuan yang taat, laki-laki yang benar dan perempuan-perempuan yang benar, laki-laki yang sabar dan perempuan-perempuan yang sabar, laki-laki yang khusyuk dan perempuan-perempuan yang khusyuk, laki-laki yang bersedekah dan perempuan-perempuan yang bersedekah, laki-laki yang berpuasa dan perempuan-perempuan yang berpuasa, laki-laki yang memelihara kehormatannya dan perempuan-perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki yang banyak ingat Allah dan perempuan-perempuan yang banyak ingat Allah maka Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar. ( s. al Ahzab 35)

Oleh yang demikian, kaum wanita juga tidak terlepas dari tanggung-jawab dan memikul
amanah seperti kaum lelaki (di sudut yang sedikit berbeza). Di antaranya ialah:


1. Berakhlak mulia dan memelihara diri.

Firman Allah s.w.t.;

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu . (s. al Hujerat 13)

Sabda Nabi s.a.w.;

a. Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi timbangan seorang mukmin pada hari Kiamat daripada akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyukai kekejian, bahawasanya orang yang berakhlak yang baik akan mencapai martabat orang berpuasa dan bersembahyang.
(HR Ahmad bin Hanbal)

b. Orang yang terbaik dikalangan kamu ialah mereka yang baik akhlaknya. (HR al Bukhari)

Menghindarkan diri dari perbuatan yang tercela seperti syirik, berdusta, khianat, sombong, dengki, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, tidak menutup aurat, berpakaian seperti lelaki, berzina, minum arak dan sebagainya.

Sabda Nabi s.a.w.;

a. …Apabila perempuan telah dewasa (telah haid, baligh), tidak boleh diperlihatkan (auratnya) kecuali ini dan ini (seraya Rasulullah memberi isyarat pada muka dan kedua telapak tangan beliau) (HR Abu Daud)

b. Dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah kulihat:
(Pertama) kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu, mereka kejam, mereka memukul orang dan (Kedua) perempuan-perempuan yang berpakaian telanjang, memancing perhatian ke arah penyelewengan, dan mereka sendiri penyeleweng, sanggulnya besar seperti unta yang mereng.
Perempuan sepeti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal wanginya itu tercium dan jarak sekian dan sekian (yakni jarak yang jauh sekali). (HR Ahmad dan Muslim)

c. Jauhi diri kamu daripada berzina, kerana pada zina itu empat perkara:
i. Menghilangkaan cahaya muka
ii. Memutuskan rezeki
iii. Memurkakan Tuhan
iv. Mewajibkan berkekalan di dalam neraka (jika diperhalalkan dia)
(riwayat at Tabrani daripada Ibnu AbbaS)

Seorang wanita yang solehah juga mempunyai perasaan malu yang tinggi sehingga beliau malu untuk mendedahkan auratnya di khalayak ramai, dan malu untuk menjadikan dirinya mudah dipermainkan atau diambil kesempatan oleh kaum yang bukan sejenisnya.

Sabda Nabi s.a.w.;

Rasa malu dan iman adalah sama, apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang lain akan hilang juga. (HR al Hakim dan at Tabrani)

Dari Ibnu Abbas r.a.;

Raulullah s.a.w. mengutuk lelaki pondan (menyerupai perempuan) dan perempuan pondan (menyerupai lelaki). (HR Bukhari)


2. Menuntut ilmu di usia remaja.

Kaum wanita juga digalakan menuntut ilmu semampu mungkin. Selain menjadikan kaum wanita yang berpendidikan tinggi dipandang mulia, beliau juga memberi sumbangan yang besar di dalam memajukan dan meninggikan taraf ekonomi keluarga, bangsa dan negaranya.

Sabda Nabi s.a.w.;

Menuntut ilmu itu wajib bagi muslim dan muslimat.


3. Menjadi isteri yang solehah.

Menjadi isteri yang solehah bererti patuh dan setia kepada suami, mampu mendidik anak menurut didikan Islam dan bersama-sama (suami) memelihara harta dan rumahtangganya.

Firman Allah s.w.t.;

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis mu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. (s ar-Ruum 21)

Sabda nabi s.a.w.;

a. Wanita yang paling baik ialah kamu berasa tenteram apabila memandangnya dan apabila kamu perintah dia patuh. Ia melindungi harta-harta kamu dan menjaga dirinya bila ketiadaanmu.

b. Sebaik-baik perempuan kamu itu perempuan yang mana terpelihara dirinya, lagi bersangatan berahi, ialah yang memelihara farajnya daripada yang bukan suaminya, yang sangat berahi kepada suaminya. (Riwayat ad Dailami daripada Anas)

c. Apabila seorang perempuan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan memelihara kemaluan (tidak berzina) dan taat setia pula dia kepada suaminya, dapatlah dia masuk syurga. (Riwayat al Bazzar, daripada Anas)

Sabda Nabi s.a.w.;

Empat perkara, barangsiapa dikurniakan dia oleh Allah Ta’ala maka dapatlah kebajikan dunia dan akhirat:
a. Lidah yang sentiasa berzikir (ingat akan Allah s.w.t.).
b. Hati yang bersyukur (berterima kasih kepada Allah s.w.t.).
c. Badan yang sabar dari segala bala'.
d. Isteri yang tiada khianat akan suaminya dan harta bendanya. (HR at Tabrani daripada Ibnu abbas).

Di dalam sejarah silam terdapat ramai kaum wanita yang telah beriman dan beramal soleh yang boleh dijadikan contoh dan tauladan. Di antara mereka ialah Siti Sarah dan Siti Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim a.s., Siti Khadijah dan Siti Aishah isteri kepada Nabi Muhammad s.a.w., dan lain-lain.
Menghayati sejarah kehidupan dan perjuangan mereka akan memberikan sebaik-baik contoh dan tauladan yang amat berguna kepada kaum wanita.

Thursday, June 18, 2009

RAHSIA MENDIDIK ANAK UNTUK BERJAYA DUNIA AKHIRAT


Ditujukan kepada generasi muda dalam melahirkan anak saleh dan salehah. Anak-anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada ibubapa. Ibubapa akan mengorbankan semua yang termampu olehnya demi melihat anaknya berjaya. Anak-anak yang berbudi pekerti mulia dan beramal saleh menjadi penyejuk mata dan melahirkan perasaan bahagia dikalangan ibu bapa; sehingga Allah mengajarkan doa yang terkenal di dalam al Qur'an;

Firman Allah s.w.t.;

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan (anak cucu) kami sebagai penyayang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa. (s. al Furqan 74)

Sayugia dimaklumi bahawa mendidik anak kepada satu cara hidup yang diredhai Allah (Islam) adalah merupakan tanggung-jawab ibu-bapa sejak anak itu dilahirkan sehinggalah dia dewasa.

Firman Allah s.w.t.;

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu… ( s. at Tahrim 6)

Sabda nabi s.a.w.;

Bahawasanya Allah Taala akan bertanya ia tipa-tiap pemelihara daripada pemeliharaannya, adakah ianya pelihara betul ataupun disia-siakannya hatta ditanya akan lelaki daripada ahli rumahnya. (Riwayat Ibnu Hibban, daripada Anas)

Begitu mulia tugas mendidik anak sehingga Allah memberi sebaik-baik ganjaran di atas usahanya itu.


Sabda Nabi s.a.w.;

a. Mendidik anak lebih baik bagi seseorang itu dari bersedekah secupak. (Riwayat at Tirmizi)

b. Tidak ada pemberian seorang bapa terhadap anaknya yang lebih baik dari adab yang mulia. ( Riwayat at Tirmizi)


Mengabaikan pendidikan anak akan mengakibatkan anak memilih jalan hidup yang salah sehingga kadang-kadang menyebabkannya terkeluar dari cara hidup Islam yang diredhai Allah.

Sabda Nabi s.a.w.;

Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Namun demikian, seringkali kita mendengar dan melihat keluh resah, kekecewaan ibu bapa terhadap sikap anak-anak yang menentang usaha baik ibubapa atau anak-anaknya memilih cara hidup yang asing daripada cara hidup Islam walaupun telah diberi sebaik-baik didikan oleh ibubapanya. Berbagai-berbagai laporan disiarkan di dada akhbar atau media massa yang lain tentang keruntuhan moral anak-anak muda Islam masa kini. Kadang-kadang ibubapa dilabelkan sebagai penjaga yang gagal atau telah tidak mendidikanak dengan sebaik mungkin. Apakah punca kegagalan tersebut juga dihubungkaitkan dengan sistem pendidikan masakini yang tidak releven atau ibubapa tidak pandai mendidik anak atau sebab-sebab lain?

1. Mengambil Panduan Tentang Pendidikan Anak-Anak dari Sumber yang Mulia iaitu Al Qur'an dan As Sunnah.

Firman Allah s.w.t.;

Dan sesungguhnya al Qur'an itu dalam induk al Kitab (Luh Mahfuzh) di sisi kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandungi hikmah. ( s. azZukhruf 4)

Hikmah (kebijaksanaan) yang kita wajib diambil dari al Quran sangat penting untuk berhadapan dengan seribu satu ragam anak-anak di zaman moden ini.

2. Hendaklah Terlebih Dahulu Beriman.

Allah menyatakan di dalam al Quran bahawa untuk melahirkan anak yang Berjaya di dunia dan akhirat kita hendaklah terlebih dahulu beriman dengan sebenarnya dan kemudian membentuk peribadi muslim/muslimat yang sebenarnya.

Firman Allah s.w.t.;

Barangsiapa yang mengerjakan amal salih baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman. Maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala (ganjaran) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. ( s. an Nahl 97)

Apabila kita beriman dan kemudian beramal salih , Allah akan mengurniakan kehidupan yang baik berupa kebahagiaan rumahtangga, rezeki yang murah serta mudah mendapat apa yang kita hajati.

3. Allah Akan Memberi Keberkatan dalam Perkataan Kita.

Apabila kita telah benar-benar beriman, Allah akan memberi keberkatan dalam perkataan kita. Apa saja perkataan yang baik yang keluar dari lidah kita yang ikhlas akan member kesan yang mendalam dalam diri anak.


Firman Allah s.w.t.;

Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (S. Ibrahim 27)

Sekiranya kita tidak benar-benar beriman, walaupun kita berusaha sedaya upaya untuk menasihati, menegur, memberi tunjuk ajar dan kadang-kadang terpaksa menghukumnya namun anak kita tidak menunjukkan sikap yang baik.


4. Amal Saleh.

Setelah kita benar-benar beriman, kita isi kehidupan kita dengan amal salih (berlandaskan al Qur'an dan al Hadis); InsyaAllah, Allah akan mengurniakan kita kehidupan yang baik.


Firman Allah s.w.t.;

Barangsiapa yang mengerjakan amal salih baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman; maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan kami balasi mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (s. an Nahl 97)

Kehidupan yang baik itu bererti kehidupan yang tenang dan harmoni, rezeki yang murah, rumahtangga yang bahagia, anak-anak yang patuh kepada suruhan Allah, RasulNya dan ibubapanya serta mudah-mudahan Allah menunaikan apa yang dihajatinya.

5. Berlaku Adil dengan Anak-Anak.

Apabila kita berlaku adil, mudah-mudahan mereka akan menuruti kata ibubapa dan menyayanginya.


Sabda nabi s.a.w.;

i. Hendaklah kamu takut akan Allah dan kamu adilkan pada pemberian di antara anak-anak kamu. ( Riwayat An Nu'man)

ii. Ajarkan anak-anak kamu tiga perkara;
a. Kasih sayang akan junjungan kita Muhammad s.a.w.
b. Kasih akan kaum keluarga junjunngan.
c. Membaca al Qur'an.

Kerana orang yang membaca dan mengambil pengajaran dari al Quran di bawah naungan rahmat Allah, di hari yang tak ada naungan apa-apa melainkan naungan rahmatNya juga beserta para nabi dan rasul-rasul pilihan. (HR ad Dailami daripada Ali)

Wednesday, June 17, 2009

PELAJAR CEMERLANG DUNIA DAN AKHIRAT


1. Mengenali Tujuan Hidup.

Allah s.w.t. tidak menjadikan semua makhlukNya di alam ini tanpa tujuan. Setiap sesuatu yang melata, yang terbang, yang berenang di air mempunyai tujuan diciptakan. Bahkan bumi, bulan, bintang dan matahari juga diciptakan oleh Allah s.w.t dengan sebab-sebab tertentu sesuai dengan sifat Allah Yang Maha Bijaksanan dan Maha Mengetahui. Maha suci Allah menciptakan sesuatu tanpa sebab atau sekadar suka-suka.

Firman Allah s.w.t;

Dan tidaklah Kami (Allah) ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main. (s. al Anbia’ 16)

Allah menjadikan jin dan manusia juga dengan tujuan tertentu.
Firman Allah s.w.t.;

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu.
(Surah azZariat 56)


Mengabdikan diri atau menyembah Allah bererti beriman kepada Allah dan menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya berpandukan al Quran dan Sunnah RasulNya.

Firman Allah s.w.t.;

Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu Kitab (al Qur’an) dengan membawa kebenaran.
Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya. (s. azZumar 2)

2. Beriman.

Sebagai seorang pelajar yang mengabdikan diri kepada Allah hendaklah memiliki keimanan yang sebenar.

Firman Allah s.w.t.;

Maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan kepada Cahaya (al Quran) yang telah kami turunkan . Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(s. atTaghabun 8)


Keimanan tersebut hendaklah benar-benar dapat dibuktikan terutama pada diri sendiri. Tanda iman yang sebenar itu ialah seperti yang Allah kehendaki di dalam al Quran.

Firman Allah s.w.t.;

Maksudnya : Hanyasanya orang-orang yang beriman ialah mereka yang beriman kepada kepada Allah dan Rasulnya, kemudian tidak ragu-ragu(yakin) serta berjihad dengan harta dan diri mereka di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. (Surah al Hujurat 15)

Keimanan itu ialah suatu keyakinan tentang Allah yang mantap di dalam hati tanpa rasa ragu atau goyang serta terpancar dengan perbuatan yang diredhai Allah di dalam dunia ini.

Sabda Nabi s.a.w.;

Iman itu bukan dengan cita-cita dan bukan juga perhiasan, tetapi iman ialah keyakinan yang tersemat di dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan.
(Riwayat sebahgian ahli sunan)

3. Berakhlak Mulia.

Apabila iman sudah meresap di hati maka akan mudahlah melakukan akhlak terpuji yang dituntut oleh Allah melalui al Quran serta diajar oleh Rasulullah s.a.w di dalam kehidupan ini.

Firman Allah s.w.t.;

Ya, barangsiapa yang menyerahkan diri (Islam) kepada Allah sedangkan dia berbuat baik (berakhlak terpuji) maka untuknya pahala di sisi Tuhannya, dan tak ada ketakutan terhadap mereka dan tidak mereka berdukacita. (Surah al Baqarah 112)

Seorang mukmin yang berakhlak mulia akan dimuliakan, dirahmati dan diberkati kehidupannya. Rezekinya murah, bijaksana dan cerdik, sihat tubuh badan dan kuat fizikal mudah diperkenankan segala hajatnya (insyaAllah) dan banyak lagi kurnia dari Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan berakhlak mulia.


4. Berbakti kepada Ibubapa, Bangsa dan Negara.

Di dalam kehidupan seorang mukmin atau mukminah ibubapa adalah orang yang sangat dimuliakan. Mereka telah membesarkan, mendidik dan menjaga anaknya sehingga dewasa. Oleh itu menjadi tanggung-jawab yang sangat penting dan mulia bagi seorang pelajar mukmin memuliakan, berbakti, menjaga dan mendoakan kesejahteraan mereka samada semasa hidup mereka atau semasa mereka telah meninggal dunia.

Firman Allah s.w.t.;

Tuhanmu memerintahkan supaya janganlah kamu sembah kecuali Dia, dan berbuat baiklah kepada ibubapa. (Surah al isra' 230)

Sabda Nabi s.a.w.;

Barangsiapa berbuat baik kepada kedua ibubapanya, syurgalah baginya, dan dipanjangkan oleh Allah Taala akan umurnya. ( Riwayat al Bukhari)

Janganlah sekali-kali menderhakainya atau mengingkari perintahnya atau mengkhianatinya
kerana Allah sangat murka kepada orang yang berbuat demikian.

Sabda nabi s.a.w.;
a. Dua perkara yang disegerakan seksanya di dunia lagi;
i. Zalim.
ii. Derhaka kepada kedua ibubapa. (Hr at Tabrani daripada Ibnu Abi Bakrah)

b. Segala dosa ditakhirkan (dilambatkan) seksanya sehingga hari Kiamat, melainkan berderhaka kepada dua ibubapanya, maka disegerakan seksanya dari dunia lagi. ( riwayat atTabrani)

Berbakti kepada bangsa dan Negara juga adalah sifat-sifat orang yang beriman. Berbakti bererti menunaikan tanggung-jawab sebagai rakyat seperti patuh dan taat kepada peraturan negara dan menjaga keamanan negaranya. Menimbulkan kacau-bilau atau melakukan huru-hara atau sesuatu yang besifat hasutan sehingga menggugat keamanan negara bukanlah sifat orang yang beriman.

Firman Allah s.w.t;

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu taatkan Allah dan taat akan RasulNya, begitu juga pemimpin dari kalangan kamu… (s. an Nisa 59)

Sabda Nabi s.a.w.;

Barangsiapa taat akan perintahku, maka sesungguhnya taatlah ia akan Allah. Dan barangsiapa yang derhaka akan daku, maka sesungguhnya derhaka ia akan Allah. Dan barangsiapa taat ia akan pemimpinnya, maka sesungguhnya taatlah ia akan daku. Dan barangsiapa derhaka akan pemimpinnya, maka sesungguhnya derhakalah ia akan daku.
(Riwayat Abu Hurairah )


5. Memuliakan dan Berbakti kepada Guru-Guru.

Guru-guru adalah mereka yang telah membawa pelajar-pelajar ke dunia yang sebenarnya. Mereka mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk mendidik anak bangsa tanpa mengira rupa, pangkat, keturunan atau bangsa. Allah memuliakan para pendidik dan mengurniakan mereka kebaikan-kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sabda Nabi s.a.w.;

a.Kelebihan seorang alim ke atas seorang ahli ibadat ialah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah, Malaikat, penduduk-penduduk langit dan bumi sehingga kepada semut di dalam sarangnya dan ikan paus di dalam lautan mendoakan kebaikan kepada guru-guru yang mengajar manusia. (HR at Tarmizi)

b. Aku bertanya kepada Jibril tentng para ahli ilmu. Jibril menjawab: Mereka adalah pelita bagi umatmu di dunia dan akhirat, berbahagialah mereka yang mahu mengerti tentang mereka dan celakalah mereka yang membenci dan memurkainya. (Kawasyi)


6. Menguasai Ilmu Pengetahuan.

Tugas menuntut ilmu sehingga ke tahap yang tertinggi diumpamakan seperti pemuda–pemudi yang pergi berjihad di jalan Allah dan mencari keredhaanNya. Hanya mereka yang berilmu sahaja yang mampu membangunkan negaranya samada dibidang agama, ekonomi, pentadbiran, teknologi dan sebagainya. Mereka yang berilmulah yang akan meninggikan taraf hidup bangsanya supaya setanding dan setaraf dengan bangsa-bangsa yang lain yang telah lama membangun dan maju.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;

a. Barangsiap yang mempelajari satu bab dari ilmu untuk mengajarkan kepada orang lain, maka ia akan diberi pahala kepadanya tujuh puluh Nabi.

b. Berjalan kerana menuntut ilmu-pagi atau petang terlebih afdhal di sisi Allah Ta'ala dari berperang sabil. (Riwayat adDailami daripada Ibnu Abbas)

c. Barangsiapa berjalan atau mencari jalan byat menuntut ilmu, nescaya dimudahkan Allah taala baginya jalan ke syurga. ( Riwayat Muslim)

d.Tuntutlah kamu akan ilmu walaupun di negeri China, kerana menuntut ilmu itu fardhu di atas tiap-tiap orang islam. Bahawasanya malikat itu meletakkan sayapnya ke atas belakang penuntut ilmu kerana suka dan redha dengan tuntutannya. (Riwayat Ibnu Abdul Bir)


Walaubagaimanapun menuntut ilmu hendaklah dengan haati yang ikhlas.

Sabda Nabi s.a.w.;

Barangsiapa yang mempelajari ilmu tidak untuk memperoleh keredhaan Allah s.w.t. dan hanya untuk tujuan mendapat kepentingan dunia, pada hari kiamat dia tidak akan mencium bau syurga. (HR abu Daud)

7. Menyayangi dan Mempertahankan Islam.

Barangsiapa yang benar-benar beriman dan muslim sudah pastilah dia akan menyayangi dan bersedia disetiap ketika untuk mempertahankan Islam.

Firman Allah s.w.t.;

Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu seorang Muslim ( S. Ali Imran 102)

Sabda Nabi s.a.w.

Islam itu amat tinggi dan tidak ada lagi yang lebih tinggi darinya. (Riwayat sebahagian ahli sunan)

Orang beriman tidak akan redha atau membenarkan agamanya dihina, dicaci atau diperlekehkan. Dia akan mengambil sikap menentang atau memerangi golongan yang menghina agamanya. Cara penentangannya adalah cara yang di dalam batasan yang diizinkan oleh negaranya seperti berdakwah, menulis artikel atau memulaukan produk-produk tertentu.

8. Menjauhkan Diri dari Perkara yang Boleh Membawa Kebinasaan.

Allah menghendaki umatnya memiliki tubuh badan yang tahan lasak, sihat, fikiran yang cerdas dan bijak dan mampu melaksanakan tugas yang diserahkan kepadanya dengan pantas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Oleh itu Allah melarang umatnya melakukan perkara-perkara seperti menghisab dadah, berzina, minum arak, ‘merempit’ dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t.;

Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (s. al Baqarah 195)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah... (HR Muslim)

WAHAI WARGA PENDIDIK



Artikel ini ditujukan kepada pemuda-pemudi yang bertugas sebagai pendidik atau guru, juga kepada golongan remaja yang akan menjadi pendidik. Kerjaya sebagai pendidik sememangnya kerjaya yang mulia.

Dari Ali karramallahu wajhahu dari Nabi Muhammad s.a.w.;

Aku bertanya kepada Jibril tentang para ahli ilmu. Jibril menjawab:

Mereka adalah pelita bagi umatmu di dunia dan akhirat, berbahagialah mereka yang mahu mengerti tentang mereka dan celakalah mereka yang membenci dan memurkainya. (Kawasyi)

Sabda Nabi s.a.w. lagi;

i.Barangsiapa yang mempelajari satu bab dari ilmu untuk mengajarkan kepada orang lain maka akan diberi pahala kepadanya tujuh puluh Nabi.

ii. Kelebihan seorang alim ke atas seorang ahli ibadat ialah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah, MalaikatNya penduduk-penduduk langit dan bumi sehingga kepada semut di dalam sarangnya dan ikan paus di dalam lautan mendoakan kebaikan kepada guru-guru yang mengajar manusia . (HR at Tarmizi)

Mendidik anak bangsa dengan niat agar mereka menjadi manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta berjaya di dunia dan akhirat adalah merupakan impian dan matlamat setiap warga pendidik dan harapan ibubapa dan penjaga. Namun agak mudah di kata tetapi berat dan penuh dengan pancaroba yang menanti pendidik untuk merealisasikan impian tersebut. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi setiap hari oleh seorang guru terutama generasi yang tinggal di bandar atau di sekolah yang mempunyai ramai pelajar bermasalah atau persekitaran yang mencabar. Seringkali kedengaran guru mengalami tekanan perasaan kesan dari masalah-masalah yang dihadapi.

Sebenarnya Islam telah mengemukakan kaedah penyelesaian terbaik supaya pendidik dapat mendidik dalam suasana yang tenang serta mampu menghadapi seribu satu cabaran serta tabah menghadapi apa saja yang bakal dilalui.

Penyelesaian tersebut ialah:

1. Keimanan yang Sebenar.

Firman Allah s.w.t.;

Maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan kepada cahaya (al Quran) yang telah kami turunkan. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (surah at Taghabun 8)

Keimanan tersebut hendaklah benar-benar mantap di dalam diri sehingga lahir dalam kehidupan seharian.

Firman Allah s.w.t. lagi;

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (surah al-Anfal 2)

Sabda nabi s.a.w.;

Iman itu bukan sesuatu yang dicita-citakan sahaja atau diangan-angankan sahaja tetapi ianya ialah sesuatu yang mantap di dalam hati dan dibuahkan dengan perbuatan (yang baik). (riwayat sebahagian ahli sunan)

Apabila iman benar-benar meresap di dalam hati dan terpancar keseluruh anggota tubuh kita, maka jadilah kita orang yang benar-benar beriman. Orang beriman (mukmin) ini mendapat keredhaan Allah serta memiliki sifat-sifat terpuji anugerah dan kurnia dari Allah.s.w.t.

Diantara kurniaNya ialah:

a. Ucapan yang teguh dan diberkati.

Ucapan, tunjuk ajar, nasihat serta teguran dari seorang guru yang beriman akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang mendengarnya kerana percakapan orang yang beriman insyaAllah diberkati dan dirahmati Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.;

Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. ( S. Ibrahim 27)



b. Ketenangan dan ketabahan hati.

Dalam menghadapi kehidupan yang mencabar, ketenangan dan ketabahan hati adalah satu keperluan utama. Hanya dengan mengingati Allah samada dalam solat, menghayati al-Qur'an atau berzikir hati akan menjadi tenang dan tenteram.

Firman Allah s.w.t.;

…iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram. (s. arRa'd 28)

2. Kebijaksanaan.

Apabila kita beriman serta mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan laranganNya, Allah akan mengurniakan kepada kita kebijaksanaan. Menangani pelbagai masalah pelajar perlukan kepada kebijaksanaan. Mudah-mudahan pelajar tersebut akan mendapat sebaik-baik manfaat dari kebijaksanaan kita.

Firman Allah s.w.t.;

Allah menganugerahkan al hikmah (kebijaksanaan dan kefahaman) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang dianugerahkan hikmah, ia benar-benar telah dianugerahkan kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran. (s. al Baqarah 269)

3. Ikhlas.

Ikhlas bererti setiap ibadah yang dilakukan seperti mendidik anak bangsa hanyalah kerana mencari keredhaan Allah. Kerjaya sebagai guru adalah satu ibadah yang sangat mulia. Apabila kita melakukan tugas yang diamanahkan itu dengan ikhlas mudah-mudahan masalah-masalah yang berat akan menjadi ringan dengan pertolongan Allah. Kadang-kadang masalah yang sukar diatasi akan menjadi mudah diselesaikan dengan izin Allah.

Firman Allah s.w.t.;

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agaama yang benar ( s. al Bayyinah 5)

4. Sabar.

Kesabaran dalam menghadapi karenah pelajar adalah suatu yang sukar dilakukan; tetapi dengan keimanan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada orang yang benar-benar beriman sifat sabar pasti ada dalam dirinya.

Firman Allah s.w.t.;

a. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.( s. al Baqarah 153)

b. Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang- orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik. ( s. ar Ra'd 22)

5. Bertaqwa.

Seorang pendidik atau bakal pendidik hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi perentah perentah Allah dan meninggalkan laranganNya. Seorang pendidik yang bertqwa akan sentiasa mendapat bimbingandan petunjuk dari Allah dan memiliki peribadi yang mulia .

Peribadi yang mulia (yang lahir dari seorang yang bertaqwa) akan menjadi contoh ikutan yang terbaik kepada anak-anak murid yang sentiasa memerhatikan tingkah-laku pendidik. Seorang pendidik yang beriman dan bertaqwa mempunyai 'daya penariknya tersendiri'. Gunakanlah kelebihan tersebut untuk mendidik mereka kearah manusia yang beriman dan beramal saleh.

Firman Allah s.w.t.;

Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan Kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (s. an Nahl 97)

Kehidupan yang baik itu berupa ketenangan, murah rezeki, rumah tangga yang bahagia, mudah mendapat apa yang dihajati dan diri yang mempunyai 'aura' yang mampu mempunyai daya tarikan .

Monday, June 1, 2009

BANGUNLAH WAHAI PEMUDAKU


Slogan Pemuda Harapan Bangsa dan Agama sering dilaungkan oleh orang tua-tua kita. Pemuda yang menjadi harapan bangsa dan agama ialah pemuda yang seharusnya memiliki ciri-ciri yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya seperti yang tersebut di dalam al Qur'an dan al Hadis Nabi Muhammad s.a.w.


Firman Allah s.w.t.;


Orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya , kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang ( berjihad) dengan harta dan dirinya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.

( s. al Hujurat 15)


Pemuda muslim yang sebenar ialah mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya, tanpa rasa ragu.Keimanan atau keyakinan tersebut menyebabkan mereka berjuang di jalan Allah samada semasa senang atau susah serta bersedia mengeluarkan harta, tenaga dan fikirannya demi kecintaan yang mendalam kepada agamanya Islam dan mencari keredhaan Allah.


Firman Allah s.w.t. lagi;


Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah dan sujudlah dan beribadat lah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya ( s. al haj 77-78)


Mereka juga patuh menunaikan segala perintah Allah, serta bersedia melakukan amal-saleh (kerja-kerja kebaikan) serta bersungguh-sungguh melaksanakannya.Mereka juga memiliki ciri-ciri yang tersebut ini;


1. Menunaikan Perintah Allah dengan Bersungguh-Sungguh dan Memahaminya.


Menunaikan perintah Allah pada yang khusus serta yang umum. Diantaranya yang khusus ialah mendirikan solat.


Firman Allah s.w.t.;


Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.

( s. al ankabut 45)


Apabila seseorang pemuda memiliki iman yang kuat serta serta solatnya terpelihara (sentiasa dikerjakan dan memenuhi syarat-syaratnya) Allah akan mengurniakan seseorang itu kekuatan jiwa dan fizikal yang mampu menghadapi kehidupan yang mencabar.


2. Memiliki Jiwa yang Teguh


Jiwa mereka begitu teguh sehingga tidak terpedaya dengan tipu daya dunia, sabar dan tabah menghadapi ujian hidup serta redha dengan ketentuan Illahi.


Firman Allah s.w.t.;


Allah meneguhkan (keimanan) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (s. Ibrahim 27)


Allah meneguhkan keimanan orang-orang yang beriman (kerana keimanan dan ketaqwaan mereka) dengan dikurniakan ucapan yang teguh (mantap serta memberi kesan kepada yang mendengar)di dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.


Firman Allah s.w.t. lagi;


Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepadaNya, nanti Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat dan kurniaNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus (yang menyampaikan) kepadaNya. ( S. an Nisa' 175)


Pemuda yang mendapat rahmat serta bimbingan Allah adalah orang yang sangat beruntung kerana dua perkara yang sangat mulia itu sangat-sangat diperlukan oleh pemuda sekarang.


3. Tidak Terpengaruh dengan Perkara yang Buruk.


Keimanan yang dimiliki oleh pemuda yang beriman dan muslim akan menjadikan dirinya berkepribadian yang tersendiri; tahan lasak, berani, sabar, tabah, pemalu, penyayang serta tidak mudah terpengaruh dengan benda-benda yang merosakkan kehidupanya.


Sabda Nabi s.a.w.;


Janganlah ada seorang di antara kamu yang suka mengikut-ngikut dan berkata aku mengikuti orang lain, jika orang lain berbuat baik aku berbuat baik dan jika mereka berbuat buruk aku pun berbuat buruk. Akan tetapi hendaklah kamu dapat menempatkan diri kamu, apabila orang lain berbuat baik hendaklah kamu berbuat baik , tetapi apabila mereka berbuat buruk hendaklah kamu menjauhi perbuatan buruk mereka. ( HR Tirmizi)


4. Menjadi Muslim yang Kuat Mental dan Fizikal.


Pemuda muslim yang beriman hendaklah memiliki tubuh yang sihat dan kuat setiap ketika. Beliau sentiasa memakan makanan yang berhasiat serta menjauhkan diri dari perkara atau makanan yang buruk seperti dadah, arak dan sebagainya.


Sabda Nabi s.a.w.;


Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah.

Namun kedua-duanya baik. Berusahalah memperoleh sesuatu yang bermanfaat bagimu. Mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah tak berdaya. Apabila engkau mengalami hal yang tidak menyenangkan, janganlah engkau berkata;

"Seandainya aku berbuat begini tentu tentu akan terjadi begitu." Katakan sajalah . " Sudah menjadi takdir Allah. Allah berbuat apa sahaja yang dikehendakiNya." Ingatlah bahawa kata-kata 'seandai' memberi kesempatan kepada syaitan untuk bekerja.

(HR Muslim)


5. Segera Bertaubat Apabila Melakukan Kesalahan.


Apabila pemuda muslim telah melakukan kesalahan hendaklah beliau segera bertaubat (memohon keampunan kepada Allah s.w.t ) serta berusaha untuk tidak mengulanginya lagi. Mudah-mudahan Allah akan mengampuninya serta membersihkan hatinya. Apabila hati telah bersih Allah akan mengurniakannya bimbingan dan pertolongan.


Firman Allah s.w.t.;


Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amalu sahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya, kerana Allah Maha Pengampun, lagi maha Pengasih.

( S. al Maidah 39)



6. Memanfaatkan Masa yang Dikurniakan Allah.


Sentiasa memanfaatkan masa yang ada adalah sifat pemuda yang beriman dan muslim. Mereka akan merasa bersalah sekiranya masa yang telah dikurniakan Allah tidak dipergunakandengan sebaik-baiknya.


Sabda Nabi s.a.w.;


Dua nikmat itu dirugikan kebanyakan manusia

1.Sihat

2. kelapangan. ( Riwayat al Bukhari)


Sabda nabi s.a.w. lagi;


Keamanan dan kesihatan adalah nikmat yang banyak manusia mensia-siakannya.

(Riwayat atTabrani dari Ibnu Abbas)


Oleh itu apabila Allah telah mengurniakan beberapa nikmat yang sangat berharga seperti kesihatan, kelapangan masa dan keamanan, hendaklah diambil kesempatan itu untuk beramal dengan sebaik-baiknya.


7. Sentiasa Berakhlak Mulia.


Mencontohi dan mengambil tauladan dari akhlak nabi Muhammad s.a.w adalah tanggung-jawab pemuda muslim.


Sabda Nabi s.a.w.;


a. Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang baik akhlaknya. ( HR Bukhari)

b. Orang yang beriman dengan akhlak yang baik akan mencapai martabatnya orang yang tekun berpuasa pada siang hari dan bersembahyang pada malam hari. (HR Abu Daud)

c. Sebaik-baik kamu ialah yang mana terlebih elok akhlaknya. (Riwayat al Bukhari dan Muslim)


8.Menuntut ilmu yang memberi manfaat selagi berkemampuan.


Bangsa yang mulia ialah bangsa yang beriman kepada Allah, melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Bangsa tersebut hendaklah memiliki kekuatannya tersendiri yang merangkumi setiap ruang kehidupan seperti bidang pertanian, pertahanan dan persenjataan, kesihatan, pendidikan, penempatan, saliran, teknologi maklumat dan sebagainya. Oleh itu golongan muda seharusnya menumpukan masa mudanya yang kuat dan berenaga untuk keluar menuntu ilmu-ilmu tersebut demi memajukan bangsanya setaraf atau lebih maju dari bangsa yang bukan Islam.


Sabda Nabi s.a.w.;


i. Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu, dia berada di dalam perjuangan di jalan Allah

hingga saat kembali ke rumah. ( HR Ibnu Majah)

ii. Barangsiapa menempuh perjalanan untuk memperoleh ilmu , Allah akan mempermudahkan

jalanbaginya menuju ke syurga. (HR Muslim)


9. Menjaga Batas Pergaulan Terhadap Bukan Muhrimnya.


Islam melarang kita melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan berlakunya zina seperti berdua-duaan yang bukan muhrim di tempat yang tersembunyi atau tertutup, berbual di antara yang bukan muhrim dengan cara yang menggairahkan atau sebagainya.


Firman Allah s.w.t;


Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat

jahat. (s. al Isra' 32)


Sabda nabi s.a.w.;


Seorang muslim yang memandang perempuan pada pandangan pertama, kemudian dipejamkan matanya kerana takutkan Allah Taala, akan dikurniakan oleh Allah Taala akannya ibadat yang berasa lazat (manis ) di hatinya. ( Riwayat Ahmad)


Sabda Nabi s.a.w. lagi;


Jauhilah diri kamu daripada berzina, kerana pada zina itu empat perkara:

i. Menghilangkan cahaya muka

ii. Memutuskan rezeki

iii. Memurkakan Yang Maha Pengasih

iv. Mewajibkan berkekalan di dalam neraka

(HR Tabrani dari Ibnu Abbas)


Islam menggalakkan umatnya mendirikan rumah-tangga bagi mereka yang mampu dan memenuhi syarat-syarat untuk berumah tangga. Islam melarang pergaulan bebas, mendedah aurat atau apa-apa saja tindakan atau perlakuan yang boleh menjerumuskan seseorang ke lembah perzinaan iaitu suatu perbuatan yang terkutuk dan keji.


10. Memilih Pasangan (Isteri ) yang Baik Agamanya.


Pilihlah pasangan yang sesuai dengan keimanan dan keIslaman yang dimiliki. Mudah-mudahan hidupnya diberkati dan di rahmati Allah.


Sabda Nabi s.a.w.;


Dikahwini seorang perempuan itu kerana empat perkara: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana cantiknya, kerana agamanya. Tetapi hendaklah kamu cari yang beragama, sesungguhnya rugilah engkau jikalau dengan perempuan yang tak kuat agamanya. (Riwayat al Bukhari dan Muslim)


Jadilah seorang suami yang memimpin, baik tingkah-laku, bertanggung -jawab dan penyayang.


11. Patuh kepada Ibubapa dan Negara.


Pemuda yang beriman ialah mereka yang patuh, menyayangi, berbakti dan kasih kepada ibubapa dan negaranya.


Sabda nabi s.a.w.;


Barangsiapa berbuat baik kepada ibubapanya syurgalah baginya dan dipanjangkan oleh Allah taala akan umurnya. ( Riwayat al Bukhari) Segala dosa dilambatkan seksanya sehingga hari Kiamat, melainkan derhaka kepada kedua ibubapa , maka disegerekan seksanya di dunia lagi (sebelum matinya). (HR atTabrani)


Firman Allah s.w.t.;


Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu taatkan Allah dan taat akan RasulNya, dan juga pemerintah kamu… (s. an Nisa' 59)


Sabda Nabi s.a.w.;


Barangsiapa taat akan perintahku, maka sesungguhnya taatlah ia akan Allah. Dan barangsiapa yang berderhaka akan daku, maka sesungguhnya berderhaka ia akan Allah. Dan barangsiapa yang taat ia kan raja yang Islam maka sesungguhnya taatlah ia akan daku. Dan barangsiapa yang derhaka akan rajanya, maka sesungguhnya derhakalah ia akan daku. (Riwayat Abu Hurairah)


Sabda Nabi s.a.w.;


Sultan atau raja Islam itu naungan Allah di alam ini.Bernaung di bawah pemerintahannyalah orang yang lemah, dan dengannyalah orang-orang yang dizalimi mendapat pertolongan, dan siapa memuliakan sultan Allah (pemerintah yang muslim) dikehidupan ini mulialah dia di hari Qiamat.

( Riwayat Ibnu an Najjar, daripada Abi Hurairah )


Sabda Nabi s.a.w. lagi;


Mendengar dan taat akan titah perintah raja Islam (pemerintah Islam) itu wajib atas orang yang beragama Islam, sama ada perkara yang dikasihinya atau perkara yang dibencinya, tetapi selam mana tidak dititahkan denan perkara maksiat, sebaliknya jika dititahkandengan membuat maksiat tidaklah wajib taat akannya. ( HR Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar)


12. Cinta dan Memperjuangkan Islam.


Seorang mumin dan muslim akan cinta kepada agamanya Islam dan akan bersungguh menghayatinya serta sedih dan marah sekiranya agamanya dihina atau diperlekehkan oleh orang lain.


Firman Allah s.w.t;


i. Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jikaa kamu orang-orang yang beriman (s. Ali Imran 139)

ii.Dan keagungan itu hanyalah bagi Allah, rasulNya dan bagi orang-orang mukmin.

( S. Almunafiqun 8)


Sabda nabi s.a.w.;


i.Kamu mestilah bersama jemaah muslimin dan imam mereka.

ii. Orang Mukmin yang satu bagi orang mukmin yang lain ibarat bangunan, yang satu menunjang dan memperkuat yang lain.

iii. Sesiapa yang bangun (pada waktu) pagi dan tidak mengambil berat urusan orang Islam, beliau bukanlah dari golongan mereka. ( HR al Bukhari)