Ditujukan kepada generasi muda dalam melahirkan anak saleh dan salehah. Anak-anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada ibubapa. Ibubapa akan mengorbankan semua yang termampu olehnya demi melihat anaknya berjaya. Anak-anak yang berbudi pekerti mulia dan beramal saleh menjadi penyejuk mata dan melahirkan perasaan bahagia dikalangan ibu bapa; sehingga Allah mengajarkan doa yang terkenal di dalam al Qur'an;
Firman Allah s.w.t.;
Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan (anak cucu) kami sebagai penyayang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa. (s. al Furqan 74)
Sayugia dimaklumi bahawa mendidik anak kepada satu cara hidup yang diredhai Allah (Islam) adalah merupakan tanggung-jawab ibu-bapa sejak anak itu dilahirkan sehinggalah dia dewasa.
Firman Allah s.w.t.;
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu… ( s. at Tahrim 6)
Sabda nabi s.a.w.;
Bahawasanya Allah Taala akan bertanya ia tipa-tiap pemelihara daripada pemeliharaannya, adakah ianya pelihara betul ataupun disia-siakannya hatta ditanya akan lelaki daripada ahli rumahnya. (Riwayat Ibnu Hibban, daripada Anas)
Begitu mulia tugas mendidik anak sehingga Allah memberi sebaik-baik ganjaran di atas usahanya itu.

Sabda Nabi s.a.w.;
a. Mendidik anak lebih baik bagi seseorang itu dari bersedekah secupak. (Riwayat at Tirmizi)
b. Tidak ada pemberian seorang bapa terhadap anaknya yang lebih baik dari adab yang mulia. ( Riwayat at Tirmizi)
Mengabaikan pendidikan anak akan mengakibatkan anak memilih jalan hidup yang salah sehingga kadang-kadang menyebabkannya terkeluar dari cara hidup Islam yang diredhai Allah.
Sabda Nabi s.a.w.;
Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun demikian, seringkali kita mendengar dan melihat keluh resah, kekecewaan ibu bapa terhadap sikap anak-anak yang menentang usaha baik ibubapa atau anak-anaknya memilih cara hidup yang asing daripada cara hidup Islam walaupun telah diberi sebaik-baik didikan oleh ibubapanya. Berbagai-berbagai laporan disiarkan di dada akhbar atau media massa yang lain tentang keruntuhan moral anak-anak muda Islam masa kini. Kadang-kadang ibubapa dilabelkan sebagai penjaga yang gagal atau telah tidak mendidikanak dengan sebaik mungkin. Apakah punca kegagalan tersebut juga dihubungkaitkan dengan sistem pendidikan masakini yang tidak releven atau ibubapa tidak pandai mendidik anak atau sebab-sebab lain?
1. Mengambil Panduan Tentang Pendidikan Anak-Anak dari Sumber yang Mulia iaitu Al Qur'an dan As Sunnah.
Firman Allah s.w.t.;
Dan sesungguhnya al Qur'an itu dalam induk al Kitab (Luh Mahfuzh) di sisi kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandungi hikmah. ( s. azZukhruf 4)
Hikmah (kebijaksanaan) yang kita wajib diambil dari al Quran sangat penting untuk berhadapan dengan seribu satu ragam anak-anak di zaman moden ini.
2. Hendaklah Terlebih Dahulu Beriman.
Allah menyatakan di dalam al Quran bahawa untuk melahirkan anak yang Berjaya di dunia dan akhirat kita hendaklah terlebih dahulu beriman dengan sebenarnya dan kemudian membentuk peribadi muslim/muslimat yang sebenarnya.
Firman Allah s.w.t.;
Barangsiapa yang mengerjakan amal salih baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman. Maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala (ganjaran) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. ( s. an Nahl 97)
Apabila kita beriman dan kemudian beramal salih , Allah akan mengurniakan kehidupan yang baik berupa kebahagiaan rumahtangga, rezeki yang murah serta mudah mendapat apa yang kita hajati.
3. Allah Akan Memberi Keberkatan dalam Perkataan Kita.
Apabila kita telah benar-benar beriman, Allah akan memberi keberkatan dalam perkataan kita. Apa saja perkataan yang baik yang keluar dari lidah kita yang ikhlas akan member kesan yang mendalam dalam diri anak.
Firman Allah s.w.t.;
Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (S. Ibrahim 27)
Sekiranya kita tidak benar-benar beriman, walaupun kita berusaha sedaya upaya untuk menasihati, menegur, memberi tunjuk ajar dan kadang-kadang terpaksa menghukumnya namun anak kita tidak menunjukkan sikap yang baik.

4. Amal Saleh.
Setelah kita benar-benar beriman, kita isi kehidupan kita dengan amal salih (berlandaskan al Qur'an dan al Hadis); InsyaAllah, Allah akan mengurniakan kita kehidupan yang baik.
Firman Allah s.w.t.;
Barangsiapa yang mengerjakan amal salih baik laki-laki atau perempuan dalam keadaan beriman; maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya akan kami balasi mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (s. an Nahl 97)
Kehidupan yang baik itu bererti kehidupan yang tenang dan harmoni, rezeki yang murah, rumahtangga yang bahagia, anak-anak yang patuh kepada suruhan Allah, RasulNya dan ibubapanya serta mudah-mudahan Allah menunaikan apa yang dihajatinya.
5. Berlaku Adil dengan Anak-Anak.
Apabila kita berlaku adil, mudah-mudahan mereka akan menuruti kata ibubapa dan menyayanginya.
Sabda nabi s.a.w.;
i. Hendaklah kamu takut akan Allah dan kamu adilkan pada pemberian di antara anak-anak kamu. ( Riwayat An Nu'man)
ii. Ajarkan anak-anak kamu tiga perkara;
a. Kasih sayang akan junjungan kita Muhammad s.a.w.
b. Kasih akan kaum keluarga junjunngan.
c. Membaca al Qur'an.
Kerana orang yang membaca dan mengambil pengajaran dari al Quran di bawah naungan rahmat Allah, di hari yang tak ada naungan apa-apa melainkan naungan rahmatNya juga beserta para nabi dan rasul-rasul pilihan. (HR ad Dailami daripada Ali)